TERENGGANU Incorporated (Terengganu Inc), syarikat pengurusan pelaburan milik kerajaan negeri, berjaya meningkatkan modal pasaran syarikat yang diuruskannya daripada RM230 juta pada Mac 2006 kepada RM530 juta setakat 31 Disember lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata peningkatan sebanyak RM300 juta itu disumbangkan oleh dasar rasionalisasi yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi penubuhan Terengganu Inc.
Katanya, penubuhan Terengganu Inc bukan saja mengubah pentadbiran dan pengurusan syarikat milik negeri menjadi lebih baik dan telus, malah mampu meningkatkan nilai pasaran menerusi pulangan pendapatan yang baik, selain tanggungjawab sosial korporat.
“Beberapa syarikat seperti Jasa Marin misalnya, yang sebelum ini menyumbang dividen sekitar RM400,000 setahun kepada kerajaan negeri, tahun lalu meningkatkan sumbangan itu kepada RM900,000.
“Tahun ini, syarikat itu mensasarkan sumbangan dividen melebihi RM1 juta,†katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan makan tengah Hari Terengganu Inc Lembaga Pengarah GLC negeri, di Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Che Mat Jusoh; dan Ketua Pegawai Operasi Terengganu Inc, Nik Azlan Aziz. "Dengan perkembangan ini saya percaya prestasi anak syarikat kerajaan negeri akan terus berkembang dan mencatatkan keuntungan berganda pada masa akan datang," ujarnya.
Idris memberitahu, kerajaan negeri akan mengadakan satu sidang media khas bagi mengumumkan keuntungan yang diperoleh oleh GLC pada 14 Januari ini.
Sementara itu pada majlis tersebut, Pengerusi Jasa Merin Sdn. Bhd., Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman menyampaikan replika cek bernilai RM285, 715 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Agama dan Adat Istiadat Terengganu (MAIDAM), Datuk Awi Muhamad disaksikan oleh Idris.
|