Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
EKONOMI negeri Terengganu bakal melalui fasa baru dengan transformasi yang lebih cekap dan tersusun mengikut garis Petunjuk Prestasi Utama (KPI), kata Penasihat Ekonomi Menteri Besar Terengganu, Datuk Mustapha Ahmad Marican.
Mustapha yang baru memegang jawatan itu sejak April lalu berkata pihaknya juga akan mengkaji terlebih dulu semua anak syarikat Terengganu di bawah Incorporated Sdn Bhd sebelum melaksanakan perubahan.
Beliau tidak menafikan bahawa krisis ekonomi global turut memberi kesan terhadap perkembangan ekonomi di Terengganu, namun ia masih di peringkat masih mampu bertahan.
Menurutnya, dengan kepercayaan dan tanggungjawab yang diberi sepenuhnya oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, beliau akan memastikan setiap transformasi dilakukan secara telus serta mengikut standard KPI yang ditetapkan.
"Pada masa ini ada lebih 100 syarikat gergasi di Terengganu di bawah pengawasan dan sehingga kini 30 peratus sudah melalui proses transformasi bagi mengukuhkan pengurusan.
"Kita bertuah kerana di Terengganu banyak sumber kekayaan semula jadi yang boleh dijana untuk memperkukuhkan lagi ekonomi negeri ini dan paling penting ia perlu dimulakan dengan perubahan," katanya.
Beliau berkata, kebanyakan syarikat yang jatuh (rugi) bukan disebabkan krisis ekonomi global tetapi, dari segi sistem pengurusan yang lemah dan tidak kukuh.
Katanya, beliau sendiri yang akan mengkaji semula semua profil syarikat supaya dapat mengetahui lebih lanjut mengenai perjalanan syarikat terbabit dan mencari punca untuk mengelak pembaziran berlaku.
"Pendekatan secara berkumpulan serta berbincang dengan semua pihak akan dilakukan kerana nasib rakyat negeri Terengganu bergantung kepada keuntungan ekonomi yang dijalankan," katanya.
|