Oleh Baharom Bakar
TDM Plantation Sdn Bhd melabur RM1 bilion untuk membeli tanah seluas 40,000 hektar untuk tanaman sawit serta membina kilang pemprosesan komoditi itu di Kalimantan, Indonesia.
Pengerusinya, Datuk Wan Hisham Wan Salleh, berkata penanaman sawit di tanah yang dibeli itu akan dibuat secara berperingkat dan bakal selesai sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun.
Beliau yang juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi Terengganu berkata, penanaman fasa pertama di kawasan seluas 10,000 hektar dengan kos RM20 juta sedang dijalankan.
“Kilang memproses sawit bernilai RM30 juta akan dibina selepas tempoh tiga tahun,” katanya selepas merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan TDM Plantation di Ladang Jaya, Kompleks Sungai Tong, di Setiu.
Hadir sama Pengarah Eksekutif TDM Bhd, Datuk Alwi Said dan Ketua Eksekutif TDM Plantation, Ab Halim Yusof.
TDM yang ditubuhkan pada 1965 kini menguruskan 12 ladang sawit seluas 35,000 hektar di Terengganu dan memiliki kilang pemprosesan dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 550,000 tan setahun.
Wan Hisham menegaskan, pulangan daripada pelaburan bagi ladang dan kilang sawit di Kalimantan itu dijangka diperoleh dalam tempoh 60 tahun.
Sementara itu, beliau berkata, TDM Plantation yang meraih keuntungan bersih RM16.1 juta tahun lalu akan menawarkan biasiswa untuk pelajar cemerlang di Terengganu serta kakitangannya untuk melanjutkan pengajian.
|