Badrul CEO baru TDM
26 Feb 2008
TDM Plantation tanam sawit di Kalimantan
1 Jan 2008
 
 
 
         
   
 
   
  GLC Terengganu catat pendapatan tinggi
  4 Jan 2008 | Source: Utusan Malaysia
 

Kemaman 4 Jan. - Langkah kerajaan Terengganu meletakkan pengurusan lebih 60 anak syarikat kerajaan negeri (GLC) di bawah Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., telah berjaya meningkatkan perolehan pendapatan dan keuntungan syarikat terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, secara purata nilai aset kebanyakan anak syarikat kerajaan negeri meningkat hampir 60 peratus pada tahun lepas dan ia adalah pencapaian membanggakan walaupun sebelum ini banyak pihak mempertikaikan langkah itu.

"Hampir keseluruhan GLC di bawah pengurusan Terengganu Incorporated telah menunjukkan peningkatan dari segi prestasi dan mula mencatatkan keuntungan berganda.

"Saya telah katakan apabila ditubuhkan Terengganu Incorporated dahulu kita mahu pastikan anak-anak syarikat kerajaan negeri ditadbir dengan baik oleh golongan profesional dengan amanah dan telus dan kini kita telah nampak hasilnya," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan zakat oleh Jasa Merin (M) Sdn. Bhd. di Kampung Kuala Kemaman di sini semalam.

Terengganu Incorporated yang ditubuhkan pada Mac 2006 diuruskan oleh golongan profesional yang berpengalaman dalam perniagaan, bertanggungjawab menguruskan anak syarikat kerajaan negeri termasuk pelaburan.

Idris berkata, sebagai contoh, syarikat TDM Berhad yang sebelum ini sahamnya hanya berharga RM0.70 seunit telah berjaya ditingkatkan kepada RM2.10 seunit pada harga semasa.

Menurutnya, begitu juga dengan Jasa Merin Sdn. Bhd., sebuah syarikat perkapalan dalam bidang gas dan petroleum juga mencatatkan peningkatan perolehan dividen sebanyak RM1 juta pada tahun lepas berbanding sebelum ini yang memperolehi dividen purata sebanyak RM500,000

"Jadi, di mana negatifnya tindakan kerajaan negeri ini kerana hari ini semua orang boleh melihat kejayaan anak-anak syarikat yang diuruskan sebuah badan korporat yang diwujudkan kerajaan.

"Dengan perkembangan ini saya percaya prestasi anak syarikat kerajaan negeri akan terus berkembang dan mencatatkan keuntungan berganda pada masa akan datang," ujarnya.

Idris memberitahu, kerajaan negeri akan mengadakan satu sidang media khas bagi mengumumkan keuntungan yang diperoleh oleh GLC pada 14 Januari ini.

Sementara itu pada majlis tersebut, Pengerusi Jasa Merin Sdn. Bhd., Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman menyampaikan replika cek bernilai RM285, 715 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Agama dan Adat Istiadat Terengganu (MAIDAM), Datuk Awi Muhamad disaksikan oleh Idris.

   
 
  Home | About Us | Investment | Newsroom | Contact Us Copyright © Terengganu Inc 2008. All Rights Reserved | Powered by EPICT