Business-Blog

Terengganu Inc Raih Anugerah Terbesar Malaysia-International HR Awards Ke-23, Kategori Majikan Pilihan Sektor Swasta

KUALA TERENGGANU – Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc berjaya meraih ‘Grand Award Winner, 23rd Malaysia-International HR Awards 2023’ iaitu anugerah tertinggi antarabangsa dan ‘Gold Award Winner, Employer of Choice (Private Sector) Category’ atau Anugerah Majikan Pilihan (Sektor Swasta) pada Majlis Makan Malam Anugerah Sumber Manusia (HR) Malaysia-Antarabangsa Ke-23 2023.

Dianjurkan Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM), Terengganu Inc merangkul dua anugerah tersebut buat julung kalinya setelah melalui dua proses penilaian juri yang ketat pada Oktober sehingga November.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun menerima anugerah daripada Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud disaksikan Presiden MIHRM, Simon Benjamin, pada 8 Disember di Dorsett Grand Subang, Selangor.

Anugerah MIHRM ialah acara utama dengan pengiktirafan global yang dianjurkan oleh MIHRM sejak 1999. Tahun ini akan menandakan tahun ke-23 penganjurannya.

Menurut pandangan panel juri, Terengganu Inc telah menonjol dengan pembentangan yang berkualiti tinggi yang disampaikan oleh Presiden dan Pegawai Eksekutifnya. Hasilnya, anugerah terulung tersebut telah dimenangi, mendahului lebih 20 majikan daripada sektor awam dan swasta di seluruh negara.

Bercakap mengenai anugerah itu, Burhanuddin Hilmi berkata ia adalah satu pengiktirafan signifikan syarikat sebagai pelopor dalam amalan HR terbaik di Terengganu dan Pantai Timur, menonjolkan penglibatan pekerja yang luar biasa dan mencipta budaya tempat kerja yang unggul.

“Ini adalah hasil inisiatif modal insan seperti dapatan tenaga kerja yang betul menerusi pembentukan Prosedur Operasi Standard (SOP), Talent Pool Programme dan TI Management Trainee (TI-Mate). Selain itu, Terengganu Inc turut melabur sebanyak RM838,500 bagi latihan dan pembangunan skill dalam tenaga kerja semasa dan akan datang,” katanya.

Terengganu Inc turut menawarkan pelbagai faedah dan imbuhan kompetitif termasuk manfaat tambahan bagi aspek kesihatan dan kesejahteraan, pembelajaran dan profesional, cuti bergaji tambahan, persaraan dan keluarga, dan program rohani.

Inisiatif sumber manusia Terengganu Inc juga melibatkan pengurusan prestasi yang berkesan dengan penilaian prestasi syarikat setiap suku tahun. Selain itu, syarikat turut menitikberatkan penglibatan pekerja secara berterusan melalui 46 aktiviti sejak tahun 2021, termasuk dalam Town Hall, aktiviti sukan, hari kesihatan pekerja dan lain-lain lagi.

Hasilnya, tinjauan maklum balas kakitangan Terengganu Inc mendapati 97.9 peratus pekerja bersetuju bahawa syarikat memberi inspirasi dan semangat untuk mencapai prestasi kerja terbaik.


Back