Business-Blog

530 Murid Mendapat Manfaat ‘Adopt A School Programme’ Terengganu Inc

KUALA TERENGGANU — Seramai 530 orang murid Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam (SKTAM) mendapat manfaat sebagai sekolah angkat Terengganu Inc menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Adopt A School Programme’ bagi merealisasikan hasrat pembelajaran secara menyeluruh. Program tersebut yang terdiri daripada tiga projek; ‘Rapid English Programme’, ‘Karate Do Training ‘dan ‘Go Green Activity’ khas buat darjah satu sehingga enam.

Salah satu inisiatif di bawah ‘Adopt A School Programme’ adalah ’Go Green Activity' iaitu pembangunan dan penceriaan semula taman botani sedia ada di SKTAM dengan kerjasama penanaman dan sumbangan pokok oleh lebih 50 kakitangan Terengganu Inc.

“Kami berharap dengan berlangsungnya ’Go Green Activity’ di SKTAM, kami dapat memupuk kesedaran cinta akan alam sekitar dalam kalangan anak murid dan menggalakkan persekitaran yang kondusif buat keseluruhan warga sekolah,” kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun semasa acara pelancaran ‘Adopt A School Programme’.

Dalam masa yang sama, kakitangan Terengganu Inc turut mengambil bahagian dalam menderma dan membaca buku Bahasa Inggeris kepada para pelajar SKTAM bagi mengalakkan penguasaan bahasa tersebut, selaras dengan matlamat ‘Rapid English Programme’.

Program pertama di bawah ‘Adopt A School Programme’ iaitu ’Rapid EngliSh Programme’telah dilancarkan pada 20 Jun 2022 oleh Pesuruhjaya Tinggi British Ke Malaysia, TYT Charles Hay, yang bertujuan untuk pemerkasaan Bahasa Inggeris. Manakala kelas mingguan ‘Karate Do Training’, hasil kerjasama bersama Persekutuan Karate Terengganu, ditaja oleh Terengganu Inc bagi memupuk seni pertahankan diri di kalangan pelajar.

“Menerusi tiga projek ini, kami berharap ‘Adopt A School Programme’ akan terus berkembang untuk memperkasakan anak-anak kita bukan sahaja dalam tema tertentu, tetapi merangkumi pembelajaran yang lebih holistik melalui ilmu pengetahuan yang relevan,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SKTAM, Encik Jalani bin Mat Desa berkata, pihaknya akan memanfaatkannya dengan sepenuhnya untuk mengajar anak-anak murid kepentingan dan kesedaran menjaga alam sekitar dan sains flora.

“Bagi pihak warga guru, kakitangan dan pelajar SKTAM, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Terengganu Inc. Semoga ia membawa manfaat yang besar dalam memperkasakan murid sekolah dengan activate bilik darjah yang menarik dan kondusif.

Untuk pengetahuan, Terengganu Inc menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) memfokuskan kepada tiga teras iaitu pendidikan, alam sekitar dan komuniti. ‘Adopt A School Programme’ diklasifikasikan dibawah dua teras tersebut, bagi menyediakan platform pendedahan luas dan peluang untuk cemerlang serta melibatkan pelajar dalam projek yang membantu alam sekitar bagi meningkatkan kesedaran dan pemuliharaan.


Back