Business-Blog

Berkongsi Barakoh Ramadan: Terengganu Inc Beri Bantuan Kepada 30 Keluarga Asnaf

KUALA NERUS - Syarikat induk pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), melalui inisiatif Jejak Ramadan, telah mengagihkan bakul makanan serta wang zakat kepada 30 keluarga asnaf di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, dengan peruntukkan sebanyak RM15,000.00.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, peruntukkan buat usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan tersebut terdiri daripada pemberian wang tunai sebanyak RM300 setiap rumah, wang zakat, bakul makanan serta Iftar di rumah salah satu penerima bantuan.

Acara ini turut menerap nilai empati kepada warga kerja Terengganu Inc untuk menghayati kesusahan yang dialami oleh golongan kurang bernasib baik serta meringankan beban mereka menjelang perayaan Aidilfitri yang akan datang.

"Pemberian wang tunai dan bakul makanan merupakan hasil kutipan sumbangan daripada kakitangan Terengganu Inc sendiri," katanya dalam kenyataan tersebut.

Jejak Ramadan melibatkan penyertaan 30 orang warga kerja Terengganu Inc dalam pengagihan sumbangan kewangan serta barangan harian seperti beras, tin sardin, gula, tepung, minyak masak, dan lain-lain lagi.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tepoh yang turut hadir dalam acara kebajikan tersebut mengucapkan terima kasih kepada Terengganu Inc atas keprihatinan terhadap warga asnaf.

Reaksi positif yang jelas terpancar daripada wajah penerima di kawasan tersebut setelah menerima kunjungan dan barangan keperluan yang sedikit sebanyak dapat melegakan mereka menghadapi perayaan Aidilfitri.

Sepanjang bulan Ramadhan tahun 2023, Terengganu Inc telah memperuntukkan RM150,000.00 bagi melaksanakan CSR seperti program agihan bubur lambuk, sumbangan bakul makanan kepada asnaf, pembinaan surau sementara, dan lain-lain lagi.


Back