Business-Blog

Kumpulan Terengganu Inc Lancar ‘Tasik Kenyir Jet Ski Championship 2022’ Khas Buat Peminat Sukan Serata Dunia

HULU TERENGGANU - Kumpulan Terengganu Inc menerusi, ‘Terengganu Inc Challenge Series (TICS): Tasik Kenyir Jet Ski Championship 2022’, telah berjaya mengembalikan kejohanan sukan air khas buat peminat-peminat sukan lasak tersebut, setelah kali terakhir dianjurkan pada tahun 2009.

Kejohanan jet ski yang julung kali diadakan oleh Kumpulan Terengganu Inc tersebut akan berlangsung pada 28 Julai sehingga 30 Julai 2022 bertempat di Pulau Poh, Tasik Kenyir sebagai tuan rumah.

Penganjuran sukan air lasak ini dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.

Dibawah pengurusan dan pengiktirafan, Persatuan Sukan Jet Ski Malaysia (PSJSM), Tasik Kenyir Jet Ski Championship 2022 sebanyak 70 penyertaan dari negara sekitar benua Asia seperti Brunei, Singapura, Dan Indonesia, serta penyertaan tempatan yang bakal menampilkan banyak aksi yang hebat di Pulau Poh.

Antara tujuh kategori dipertandingkan seperti Pro-Am R/A 1100 Limited, Pro-Am R/A 1100 Open (2-Stroke), Pro-Am Endurance R/A Open, Pro-Am R/A Limited, Expert Veterans R/A Limited (40+), Expert Sport (2-Stroke) dan Junior 13-15 Runabout 1100 Limited.

Semua kategori, piala acara dan pingat akan diberikan kepada lima pemenang teratas dalam setiap kategori dengan jumlah hadiah wang tunai sebanyak RM50,950.

“Kami ingin membawa pengalaman sukan air bermotor bertaraf dunia ke Terengganu. Sukan

jet ski ini bukan sahaja unik, malah mempunyai pengikutnya tersendiri di seluruh negara.

“Melalui Tasik Kenyir Jet Ski Championship 2022, kami berharap Pulau Poh dapat menjadi salah satu tarikan terbaharu di Terengganu bagi menggalakkan lagi pelancong untuk mengunjungi negeri persisiran pantai ini,” kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun ketika di majlis pelancaran.

Acara sampingan sepanjang tiga hari di lokasi seperti jualan industri kecil dan sederhana (IKS) serta ‘food truck’, kelab kenderaan ‘Wira Gathering’ dan konvoi motosikal menerusi ‘Geng Motor Ride’ turut diadakan bagi menarik pengunjung untuk datang ke Pulau Poh,” tambahnya lagi.

Di samping sukan perairan lasak itu, Terengganu Inc Challenge Series (TICS) turut menampilkan pertunjukan burung eksotik, pertunjukan papan terbang ‘Flyboard’, pameran askar wataniah, Dikir Barat Sirat Astagina dan jamuan rakyat.

Tasik Kenyir Jet Ski Championship 2022 merupakan salah satu aktiviti di dalam TICS. Penganjuran sulung Kumpulan Terengganu Inc tersebut telah diiktiraf oleh badan induk sukan jet ski dunia Olympic Council of Asia dan International Jet Sports Boating Association (IJSBA).

Untuk mengikuti perkembangan acara sukan dianjurkan Terengganu Inc boleh mengikuti akaun rasmi Facebook, Instagram dan Tik Tok di ‘Terengganu Inc Challenge Series’.


Back