Business-Blog

Kumpulan Terengganu Inc Sumbang 73 Ekor Lembu Sempena Korban Amal 2022

KUALA TERENGGANU - Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) bersama anak-anak syarikat Kumpulan telah merealisasikan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan, Korban Amal 2022 dengan menyumbang sebanyak 73 ekor lembu kepada komuniti di sekitar negeri Terengganu.

Menurut Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun, Kumpulannya meningkatkan jumlah peruntukan dan lembu korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1443H/2022 berbanding 58 ekor pada tahun sebelumnya.

“Bagi menyemarakkan lagi semangat menunaikan ibadah korban, kita memperuntukkan hampir RM380,000 pada tahun ini melibatkan penyediaan lembu dari gred AA hingga gred B,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumlah keseluruhan sumbangan tersebut terdiri daripada Terengganu Inc iaitu 41 ekor lembu, diikuti TDM Berhad 23 ekor, EPIC Berhad tujuh ekor dan Syarikat Air Terengganu (SATU) dua ekor.

Sumbangan lembu korban telah diagihkan kepada komuniti kampung, masjid dan surau di sekitar daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Besut, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Sumbangan ini kemudiannya diagihkan kepada mereka yang memerlukan mengikut kaedah pembahagian yang telah ditetapkan menerusi aktiviti korban pada hari pertama dan kedua Hari Raya Aidiladha bersamaan dengan 10 dan 11 Julai 2022.

Korban Amal adalah platform menyampaikan komitmen Kumpulan Terengganu Inc sebagai badan korporat yang bertanggungjawab kepada masyarakat dan menggambarkan sokongan terhadap inisiatif keagamaan dan memberi pulangan kepada komuniti tempat sekitar operasi Kumpulan.

Lembu korban telah disediakan dan diuruskan melalui pembelian terus daripada Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd iaitu anak syarikat Terengganu Inc yang menjalankan aktiviti perladangan dan penternakan lembu serta ayam kampung,

“Dengan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha tahun ini, Kumpulan Terengganu Inc berharap agar Korban Amal 2022 ini dapat menyemarakkan lagi semangat dan penghayatan nilai pengorbanan,” katanya lagi.


Back