Business-Blog

Kumpulan Terengganu Inc Taja Terengganu FC RM1.6 Juta, Bakar Semangat Hadapi Saingan AFC

KUALA TERENGGANU – Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Kumpulan Terengganu Inc telah memeterai perjanjian bersama Terengganu Football Club (TFC) bagi merealisasikan tajaan bernilai RM1.6 juta sekali gus membakar semangat memburu Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023 serta menghadapi saingan musim akan datang.

Tajaan musim hadapan ini akan melibatkan anak-anak syarikat Kumpulan antaranya Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dan Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd (LRTSB).

Penajaan Kumpulan Terengganu Inc adalah selari dengan momentum positif pasukan itu yang telah meraih tempat kedua Liga Super, naib juara Piala FA dan layak ke Piala AFC musim depan serta baru sahaja mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, sejak tahun 2017 sehingga kini, Terengganu Inc serta anak-anak syarikat Kumpulannya sudah tidak asing lagi dalam mengadakan kolaborasi menang-menang bersama TFC.

“Bola sepak merupakan salah satu sukan utama di Terengganu yang mempunyai ramai peminat tempatan yang setia. Kumpulan Terengganu Inc berbangga untuk terus menjadi teras sokongan TFC dengan penajaan melalui anak syarikat iaitu EPIC, SATU dan LRTSB.

Sebagai penaja, Terengganu Inc serta tiga anak syarikatnya mendapat pelbagai peluang pemasaran strategik seperti promosi logo penaja pada jersi, tapak pemasaran sempena hari perlawanan, penjenamaan pada kit latihan rasmi pusat latihan, logo, iklan penaja di media sosial dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, pihaknya berbesar hati menerima tajaan tersebut yang dilihat bakal meningkatkan lagi motivasi dan prestasi industri bola sepak negeri.

“Dengan Kumpulan Terengganu Inc menjadi penaja emas skuad ini, ia turut memberi keyakinan kepada pengurusan dan pemain untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang saingan musim baharu,” jelasnya.

Sementara itu, Burhanuddin Hilmi optimis dengan penajaan tersebut bakal mencetuskan persaingan sengit dalam Piala Asia AFC 2023 yang dijadual berlangsung pada 16 Jun 2023 dan berakhir pada 16 Julai 2023.

“Kami yakin penajaan ini dapat mendorong pasukan meningkatkan prestasi keseluruhan dalam saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA. Pihak kami juga yakin TFC bakal mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia disamping menaikkan nama Kumpulan Terengganu Inc di mata negara dan rantau Asia,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis perjanjian yang diadakan di Pejabat Pengurusan TFC telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali, Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts. Abdul Karim Endut, Ketua Eksekutif LRTSB, Che Ku Hafiz Che Ku Denang serta disaksikan oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun. Manakala itu, TFC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn. Bhd, Ab Rasid Jusoh dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi TFC, Mohd Sabri Abas.


Back