Business-Blog

Terengganu Inc Agih 3000 Bekas Bubur Lambuk Percuma

KUALA TERENGGANU - Kumpulan Terengganu Inc meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) dengan mengagihkan 3000 bekas bubur lambuk bermula pada hari pertama Ramadhan kepada komuniti tempatan di Masjid Abidin.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, program agihan makanan tradisi itu merupakan aktiviti tahunan Terengganu Inc serta 15 anak-anak syarikat kumpulan yang diadakan sejak 2017 bersama warga masjid dan sekitarnya.

Katanya, sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk sehari akan diagihkan bermula 3 sehingga 5 April tahun ini dan dilaksanakan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) fasa endemik dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

“Kami harap, acara tahunan ini dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan membeli juadah atau tidak berkesempatan menyediakan makanan berbuka puasa menikmati makanan sinonim dengan bulan puasa itu.

"Semoga langkah tepat ini mengekalkan amalan pengagihan bubur lambuk di sekitar kawasan masjid, sekaligus dapat menyuburkan jalinan kerjasama dan ikatan silaturahim antara Kumpulan Terengganu Inc sendiri dan masyarakat sekeliling," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Burhanuddin turut berkongsi perancangan CSR syarikat induk pelaburan negeri pada bulan itu seperti program bantuan buat golongan asnaf dibawah ‘Jejak Ramadhan’.

“Pada tahun ini, kita akan sasarkan keluarga kurang berkemampuan yang memerlukan perhatian dan sumbangan, seperti tahun sebelumnya, kita akan lancarkan tabung sumbangan daripada kakitangan Terengganu Inc dari awal Ramadhan,” katanya lagi.

Hadir sama, Datuk Dr Syed Mohammad Salleh Syed Yusof Al Zawawi serta ketua-ketua syarikat anak-anak syarikat kumpulan yang terdiri daripada TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP), Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu, Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd, Hartanah Terengganu Sdn Bhd, Primula Beach Hotel, PTB Unit Trust Berhad (ASDI) dan Terengganu Safety Training Centre Sdn Bhd.


Back