Business-Blog

Terengganu Inc Rekod Pencapaian Hasil RM1.2 Bilion Pada Tahun 2021

Syarikat induk pelaburan milik kerajaan negeri Terengganu, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) dan anak-anak syarikatnya mencatatkan peningkatan ketara keseluruhan dalam hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 sebanyak RM1.2 bilion, mengatasi prestasi tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM1.0 bilion.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata hasil Kumpulan menunjukkan peningkatan sebanyak 14% atau RM148.1 juta berbanding tahun kewangan 2020, disumbangkan oleh prestasi memberangsangkan dalam anak-anak syarikatnya.

Trend kenaikan lain termasuk keuntungan sebelum cukai dan zakat Kumpulan yang mencatatkan peningkatan sebanyak 364% (RM60.9 juta) kepada RM77.7 juta daripada RM16.7 juta pada tahun kewangan 2020.

Walaupun kos operasi meningkat sebanyak RM67.1 juta (25%), Kumpulan Terengganu Inc masih mencapai keuntungan selepas cukai untuk meneruskan operasi sebanyak RM8.6 juta pada tahun semasa.

“Sekali lagi, sektor perladangan yang digerakkan oleh TDM Berhad dan Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kepada Kumpulan (49%), didorong oleh harga purata minyak sawit dan isirong sawit diperakui yang lebih tinggi diikuti oleh sektor penjagaan kesihatan (19%) serta sektor tenaga dan sumber (17%),” katanya.

Dalam sektor penjagaan kesihatan, hasil meningkat sebanyak RM21.7 juta atau 11% daripada RM202.6 juta kepada RM224.3 juta. Momentum ini disumbangkan oleh pulangan yang lebih tinggi bagi setiap pesakit dan peningkatan dalam bilangan pesakit luar.

Sementara itu, kluster tenaga dan sumber Kumpulan yang diterajui oleh Golden Pharos Berhad mempamerkan hasil baik sebanyak RM9.5 juta, diterajui oleh pengeluaran yang lebih tinggi. Melihat kepada segmen hasil, ladang hutan meningkat sebanyak 357% berbanding tahun sebelumnya, diikuti venir sebanyak 62% dan serpihan kayu sebanyak 24%.

Dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan, sektor pelancongan menerusi YTYI Sdn Bhd (Permai Hotel), memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.2 juta selepas kerugian beberapa tahun.

Hasil dalam sektor tersebut telah meningkat sebanyak 66% (RM3.5 juta) berbanding tempoh yang sama pada tahun kewangan 2020, iaitu sebanyak RM7.3 juta kerugian.

Anak syarikat Kumpulan yang menjurus kepada sektor pembinaan, GPQ Sdn. Bhd. Turut memperoleh hasil tinggi pada 2021 iaitu sebanyak RM42.5 juta berikutan penyiapan projek Hospital Pengajaran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus.

"Kami optimis Terengganu Inc dan anak-anak syarikat Kumpulannya dapat mengekalkan kadar kukuh seiring dengan pemulihan ekonomi negara yang berterusan. Prinsip perniagaan kami yang mampan dan amalan pengurusan risiko sentiasa diutamakan,” kata Burhanuddin.

“Sering kami tekankan, usaha kami untuk mencapai kejayaan melangkaui objektif komersial semata-mata. Bagi memajukan pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan sosial dan tadbir urus yang baik, kami akan terus menggalakkan daya tahan dan pertumbuhan mampan,” tambahnya.


Back